Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, yakin dia dapat segera menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan selepas tersenarai dalam kem latihan skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan menentang Maldives, 3 November ini.

Ia merupakan kali pertama Nor Azam disenaraikan oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, selepas kecederaan lutut kanan yang membuatkan dia tidak berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya.

Kemahiran yang dimiliki Nor Azam dijangka menjadi antara aset penting buat skuad kebangsaan yang dalam persiapan untuk menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2018.

Bagaimanapun, dia mengakui perlu cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain tatkala persaingan sengit merebut tempat di bahagian tengah.

"Saya akan cuba yang terbaik dan cepat dapatkan keserasian kerana ini adalah panggilan pertama daripada jurulatih. Saya akan tunjukkan bahawa saya boleh bermain dengan pasukan," katanya.

Dalam masa sama, Nor Azam juga yakin keserasian yang ditunjukkan bersama rakan sepasukannya di Pahang, Mohamadou Sumareh, akan dapat dijelmakan untuk skuad kebangsaan.

Dia berkata walaupun corak permainan pastinya berbeza di bawah kendalian Cheng Hoe, ia bukan halangan kerana menganggap setiap pemain mempunyai kualiti tersendiri bagi membantu skuad negara.

"Bersama Pahang, ia melibatkan taktikal berbeza tetapi saya akan cuba mengikut perancangan pasukan. Tetapi dengan Sumareh, saya rasa saya sudah faham corak permainannya," tambah Nor Azam.

"Bagi saya, pasukan ini memang sempurna memandangkan semua pemain sudah serasi. Segalanya terpulang kepada saya untuk mendapatkannya."