Nolito mengucapkan terima kasih kepada Luis Enrique kerana membantunya untuk merealisasikan potensi sebenarnya menjelang aksi Liga Juara-Juara bertemu Barcelona.

Penyerang Sepanyol itu telah beraksi di bawah kendalian Enrique di Barcelona B, sebelum bertemu semula di Celta Vigo pada 2013.

Prestasi Nolito meningkat ketika beraksi di Celta dan dia hampir kembali ke Nou Camp untuk menyertai Enrique pada Januari.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menyertai skuad kendalian Pep Guardiola di Manchester City.

Nolito, yang berjaya meledak satu gol ketika City seri 1-1 dengan Everton, berkata Enrique adalah individu yang penting dalam kariernya.

"Saya di bawah kendalian Enrique ketika bermain untuk Barcelona B, kemudian di Celta. Beliau sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

"Beliau juga telah membantu saya untuk melihat bola sepak dari satu sudut yang berbeza dan meyakinkan saya bahawa saya mampu melakukannya.

"Saya merupakan seorang pemain yang berat. Beliau telah membantu saya untuk menurunkan berat badan sebanyak 10 kg.

"Beliau memantau saya setiap hari, Enrique bagaikan tunjang dalam karier saya. Beliau memantau bukan sahaja di atas padang, malah pemakanan saya turut dijaga. Minuman Coca Cola, kek dan roti adalah makanan yang sedap tetapi tidak bagus buat sukan bola sepak."

Nolito mengakui penghijrahan ke Barca bermakna dia perlu bersaing dengan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.

"Saya hampir kembali bersama Barcelona tetapi saya memilih untuk menyertai City.

"Tiga tahun bersama Celta merupakan masa terbaik saya tetapi sudah tiba masa bagi saya untuk mencuba sesuatu yang baru dan City merupakan destinasi saya."