Pemain tengah skuad bawah 19 tahun negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menyifatkan kemenangan ke atas Myanmar dalam final adalah hadiah terakhir yang mampu dihadirkan buat Malaysia sehingga mampu memberikan status juara buat kali pertama dalam Kejohanan AFF.

Aksi di Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya semalam merupakan tahun terakhir perjuangan mereka mencabar Kejohanan AFF B-19 dan tiada siapa menyangka selepas gagal dalam percubaan di pentas final tahun lalu ekoran kekalahan di tangan Thailand 2-0, 2018 menjadi kisah berbeza untuk pemain negara.

Majoriti daripada mereka sudah pun genap usia 19 tahun, bermakna ia merupakan tahun akhir mereka layak beraksi di dalam kejohanan itu.

"Ini peluang terakhir buat kami dan semua pemain berjuang sehingga aksi terakhir. Dalam peluang sepakan percuma itu, saya menyasarkan tendangan itu harus disudahkan dengan jaringan. Alhamdulillah, ia berlaku," katanya

Nik Akif muncul wira selepas menyumbat dua gol dalam final, termasuk jaringan kemenangan dalam waktu kecederaan untuk Malaysia dinobatkan selaku juara buat kali pertama.

"Hadiah ini untuk semua dan seluruh pasukan. Syukur kami bergelar juara dan akan fokus untuk saingan Kejohanan AFC selepas ini."