Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperincikan peruntukan RM45 juta buat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), termasuk memperkenalkan sembilan inisiatif dalam Seminar Pemerkasaan NFDP di Seri Kembangan, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan pembangunan bola sepak wanita sebagai salah satu inisiatif utama NFDP bermula tahun depan.

Antara inisiatif lain ialah penubuhan akademi peringkat zon, pemerkasaan bidang kejurulatihan, pembangunan akar umbi menyeluruh, sistem pertandingan lebih sistematik dan pencarian bakat di setiap peringkat.

"Perkara pertama, kami akan melantik beberapa staf sepenuh masa yang akan membantu kami menguruskan program ini," kata Syed Saddiq.

"Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk memastikan kami dapat membantu FAM daripada segi dana kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

"Untuk mendapatkan tajaan korporat buat bola sepak wanita bukan sesuatu yang mudah, jadi pada permulaan, kerajaan perlu memberikan sokongan penuh dengan apa sahaja cara yang boleh," katanya.