NFDP: Elaun jurulatih separuh masa akan dilangsaikan

Oleh Muzaffar Musa 2 April 2020 154
NFDP: Elaun jurulatih separuh masa akan dilangsaikan
Keluhan jurulatih separuh masa Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkenaan elaun yang tidak dibayar selama tiga bulan bakal berakhir apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memberi jaminan bahawa ia akan dilangsaikan dalam tempoh tujuh hari bermula Khamis ini.

Sebelum ini, laman sesawang Semuanya Bola melaporkan bahawa jurulatih separuh masa program itu menyuarakan keluhan mereka berikutan elaun yang tidak dibayar.

Berdasarkan laporan itu, adalah dimaklumkan bahawa gaji bagi bulan Januari dan Februari akan dilunaskan sekaligus bersama gaji bulan Mac pada hujung bulan lalu, namun ia sekali lagi diubah kepada hujung bulan ini.

Dalam satu perbualan telefon bersama Nadi Arena, Reezal Merican menjelaskan bahawa kelewatan pembayaran itu berpunca daripada beberapa konflik yang dihadapi NFDP pada awal tahun ini.

"Saya sudah dapat makluman berkenaan perkara tersebut.

"Saya sendiri sudah memanggil dan meminta KP MSN (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk memberikan penjelasan dan gambaran penuh berkaitan isu ini.

"Pada waktu ini, memang saya sudah menerima penjelasan beliau dan difahamkan MSN akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang telah berlaku.

"Pembayaran mereka (jurulatih) perlu dibayar, jadi jangan ambil masa yang lewat.

"Dan kalau ada kekangan pada waktu-waktu seperti ini, kalau boleh kita selesaikan dengan kadar segera," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen