Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang sebelum ini tertumpu kepada melahirkan pemain berbakat dalam kalangan lelaki akan diperluaskan untuk mencari bakat pemain bola sepak wanita.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan peruntukan sebanyak RM45 juta, peningkatan tiga kali ganda peruntukan bagi NFDP berbanding RM15 juta tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata satu bengkel khas NFDP akan diadakan pada 21 Oktober ini bagi membincangkan pelan seterusnya untuk program berkenaan.

Katanya, bengkel khas itu akan turut membincangkan mengenai cadangan untuk memperluaskan akademi latihan seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ke Sabah dan Sarawak selain merangka program untuk melahirkan pemain bola sepak wanita.

Jelas Syed Saddiq, program pembangunan sukan untuk wanita di peringkat akar umbi antara asas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memohon peruntukan tambahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Menteri Kewangan dan mahu memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan.

“Jangan kita sesekali lupa dan menganaktirikan wanita yang meminati sukan bola sepak. Inilah masanya untuk kita kembalikan penyertaan wanita dalam sukan.

“Seperti di Amerika Syarikat dan negara Eropah lain, dulu mereka bukan siapa-siapa tapi kini mereka adalah antara yang terbaik di dunia.

“Di Malaysia, dengan pelaburan yang secukupnya dan seadil mungkin, kita dapat lahirkan lebih banyak bukan sahaja seperti Luqman (Hakim Shamsudin) tapi juga pemain wanita yang turut memainkan peranan penting.

"Selepas bengkel nanti, kita akan maklumkan pelan sepenuhnya mengenai NFDP,” katanya selepas merasmikan sambutan kemuncak Bulan Sukan Negara 2019 di Bandar Sukan Kuala Lumpur Bukit Jalil hari ini.

Luqman Hakim, pemain kelahiran AMD yang sedang menjalani latihan dengan pendahulu Liga Divisyen Satu Jepun (Liga J), FC Tokyo, telah mengharumkan nama negara apabila disenaraikan dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian, dan juga seorang daripada lima perserta Asia yang tersenarai.

Selain pembangunan pemain bola sepak wanita, Syed Saddiq berkata penekanan akan diberikan juga untuk pencarian dan pembangunan atlet akar umbi wanita dalam sukan lain seperti ragbi, futsal dan lain-lain sukan dominasi lelaki yang boleh diterokai golongan wanita.

Katanya, Malaysia tidak ketandusan potensi dan bakat dalam kalangan atlet wanita tetapi perlu diberikan perhatian khusus yang bermula dari peringkat sekolah.

“Kita perlu memberi peruntukan secukupnya kepada akar umbi wanita juga. Itu penting untuk lahirkan bakal atlet wanita yang terbaik pada masa depan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 juga, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk pembangunan atlet wanita dalam usaha kerajaan memperkasakan wanita dalam sukan.

— BERNAMA