Neymar yakin PSG miliki kemampuan benam Real Madrid 

Oleh Penulis Jemputan 22 Disember 2017 909
Neymar yakin PSG miliki kemampuan benam Real Madrid 
Neymar bertekad untuk menjulang Paris Saint-Germain (PSG) menyingkirkan Real Madrid dalam pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara. 

Pendahulu Ligue 1 itu yang mengatasi Bayern di peringkat kumpulan, mendapat undian sukar bertemu juara bertahan itu yang dikalahkan Tottenham Hotspur di peringkat yang sama. 

PSG telah mencetuskan sensasi dalam pusingan 16 musim lalu apabila berjaya membenam Barcelona 4-0 dalam pertemuan pertama sebelum tewas 6-5 secara agregat.

Begitupun, Neymar yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke Los Blancos, percaya pasukannya tidak akan tumbang kali ini.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Pemain Real Madrid telah dibentuk bersama selama bertahun-tahun dan bercita-cita untuk memenangi gelaran buat kali ketiga berturut-turut," kata bintang Brazil itu dalam sidang akhbar Jelajah Musim Sejuk Qatar.

"Tetapi, saya tahu kami boleh mengalahkan mereka.

"Kami mahu menempa sejarah dan kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mengalahkan mereka," tambahnya.

Agenda utama Madrid ketika ini adalah pertembungan dengan Barca dalam aksi El Clasico esok  untuk mereka berusaha merapatkan defisit 11 mata. 

Jurulatih PSG, Unai Emery, yang akan hadir menonton aksi El Clasico itu berpesan kepada barisan kendalian Zinedine Zidane agar memanfaatkan kelebihan di Santiago Bernabeu.

"Mereka banyak kehilangan mata, namun jika ada pemenang esok, maka ia haruslah Real Madrid kerana mereka bermain di tempat sendiri," kata Emery kepada Marca.

"Dalam perlawanan getir, saya yakin mereka akan bertambah bagus. Real Madrid masih mempunyai pasukan yang sangat bagus."


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen