Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar, dianggap tidak bersalah apabila diarah keluar padang ketika meraih kemenangan 4-3 ke atas Bordeaux semalam selepas ketua jurulatih Thomas Tuchel enggan mengkritik terjahan yang dilakukan pemain itu.

Pemain kebangsaan Brazil, Neymar, dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran kepada pemain Bordeaux, Yacine Adli, dalam masa tambahan saingan Ligue 1 di Parc des Princes.

Tuchel percaya reaksi Neymar adalah normal kerana pemain PSG kerap kali melakukan dikasari oleh pertahanan Bordeaux, Youssouf Sabaly.

Neymar bakal terlepas aksi Ligue 1 berdepa Dijon di laman sendiri, Sabtu ini.

"Kami harus berbincang mengenai setiap situasi," kata Tuchel.

"Neymar juga seorang manusia, pemain Bordeaux yang bermain secara agresif tidak diberikan kad kuning."

PSG meraih tiga mata hasil dua jaringan daripada Marquinhos, satu daripada Edinson Cavani –- jaringan yang ke-200 penyerang kelahiran Uruguay itu -- dan Kylian Mbappe.

Ia membantu PSG kekal di puncak liga dengan berkelebihan 13 mata ke atas penghuni tangga kedua, Marseille.
Tuchel mengakui kemenangan ini akan meningkatkan semangat pasukan selepas tewas 2-1 kepada Borussia Dortmund dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

"Ini merupakan kemenangan penting buat PSG.

"Pemain-pemain kurang yakin selepas mengalami kekalahan. Banyak pasukan gagal bangkit selepas mengalami kekalahan di pentas Eropah."