Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, berpendapat Neymar tidak akan kembali ke kelab gergasi LaLiga itu tetapi menjelaskan ia tidak mustahil.

Neymar meninggalkan Barca tahun lalu selepas Paris Saint Germain (PSG) mengaktifkan klausa perpindahannya bernilai EUR222 juta (RM1.06 bilion), menjadikannya pemain termahal dunia.

Sejak tiba di Paris, bintang Brazil itu menyinar apabila menyumbat 27 gol dan menghasilkan 16 bantuan jaringan dalam 28 aksi Ligue 1 walaupun dia dikatakan bergelut untuk menyesuaikan diri di ibu kota Perancis itu.

Spekulasi perpindahan melibatkan pemain berusia 26 tahun itu kembali diperkatakan selepas Real Madrid dilaporkan mahu mendapatkannya selepas Piala Dunia 2018.

Khabar angin terbaru mengatakan Barca turut bercadang untuk membawanya semula ke Camp Nou dan ketika sidang media menjelang aksi berdepan Sevilla semalam, Valverde menafikannya.

"Bila-bila masa agak bagus untuk berfikir tentang perkara ini tetapi Neymar beraksi untuk pasukan lain. Ini adalah spekulasi," kata Valverde.

"Sekarang bukan musim perpindahan, jadi saya tidak akan bercakap mengenai seorang pemain dan ia bukan sesuatu yang bakal berlaku bulan depan.

"Apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak tetapi ia sukar. Saya tidak tahu, lihat sahaja di masa akan datang."

Barca yang menduduki tangga kedua liga bakal berdepan pendahulu, Sevilla, malam ini tatkala mereka ketinggalan satu mata.

Prestasi beberapa pemain menjadi sasaran kritikan dan pemain paling banyak menerimanya adalah Gerard Pique walaupun Valverde menafikan penglibatan bek tengah itu dalam Piala Dunia Tenis mengganggunya.

"Pique menjadi bualan semua dan orang ramai boleh mempunyai pendapat sendiri," tambah Valverde.

"Namun, satu-satunya perkara yang salah mengenainya adalah Pique memiliki idea hebat dan ia tidak mengganggu saya. Saya berharap mampu memiiki idea itu dan semua orang menyukainya.

"Selain itu, saya rasa dia fokus 100 peratus. Tiada masalah."

Tatkala pemain lain mempamer aksi buruk, Lionel Messi terus menyinar dan Valverde bersedia sekiranya pengendali Sevilla, Pablo Machin, bercadang untuk merantai pergerakan kapten Barca itu, taktik yang digunakan pengurus itu ketika bersama Girona, musim lalu.

"Kami tahu ia boleh terjadi tetapi kami sedar ia terjadi dalam aksi Piala Super Sepanyol berdepan Girona. Ia bergantung kepada pasukan," ujar Valverde.

"Kami bercakap tentang pertimbangan tetapi untuk mereka membuat keputusan, kami harus menghadapinya. Pada masa lalu, kami sering menganggap ia boleh berlaku lagi."