Neymar menafikan wujud perseteruan di antara dirinya dan rakan sepasukan di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Gandingan itu merupakan dua pemain paling bernilai di dunia dan telah menyumbang sembilan daripada 14 gol dalam empat perlawanan terakhir bagi semua kejohanan.

Ketua jurulatih, Thomas Tuchel, memuji gandingan itu sewaktu menewaskan Montpellier 3-1 dan kedua-dua pemain itu perlu menyinar jika kelab Ligue 1 itu mahu mengecapi kejayaan dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Terdapat dakwaan mengatakan bintang Perancis, Mbappe, kecewa dengan perhatian yang diberikan kepada Neymar tetapi penyerang Brazil itu menegaskan tiada permusuhan di antara mereka berdua.

"Hubungan saya dan Mbappe sangat bagus," katanya.

"Kami rakan baik dan membantu satu sama lain untuk memenangi perlawanan dan menjaringkan gol. Saya rasa ia sesuatu yang istimewa. Tiada persaingan di antara kami.

"Kami membantu satu sama lain untuk menghasilkan gol. Jika salah seorang daripada kami menyumbat jaringan, dia akan memberitahu: 'kini giliran anda'.

"Itu cara untuk bermain bola sepak, menjadi rakan sepasukan yang baik atau segalanya tidak berhasil."

Untuk perlawanan seterusnya, PSG akan bertandang ke Le Mans bagi saingan Piala Liga Perancis awal pagi esok.

Skuad bimbingan Tuchel itu bakal berdepan bekas majikannya, Borussia Dortmund, dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas undian yang diadakan kelmarin.