Neymar akan menandatangani kontrak baru bersama Barcelona untuk mengekalkannya di kelab itu sehingga Jun 2021.

Menurut kenyataan Barcelona, pemain antarabangsa Brazil itu secara rasmi akan menandatangani perjanjian -- yang pada asalnya dipersetujui pada Jun -- pada Sabtu ini.

Neymar menyertai kelab itu pada 2013 selepas berhijrah dari kelab Brazil, Santos, dan tempohnya di Camp Nou akan tamat pada 2018 tetapi perjanjian baru itu bakal menyaksikan dia terikat dengan juara Sepanyol berkenaan untuk tempoh lima musim.

Sebelum ini, kelab berkenaan membuat pengumuman awal pada Julai lalu, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa Neymar tidak gembira di Sepanyol dan dikatakan mahu berhijrah ke kelab lain.

Paris Saint-Germain (PSG) adalah antara kelab yang dilaporkan cuba menandatanganinya.

Pada ketika itu, Barcelona berkata klausa pembelian semula ditetapkan pada 200 juta euro (RM928.43 juta) pada tahun pertama kontrak baharu, diikuti 222 juta euro (RM1.030 bilion) untuk tahun kedua dan 250 juta euro (RM1.160 juta) untuk tiga tahun terakhir.

Klausa pembelian itu menyamai kontrak buat Lionel Messi.

Sepanjang bersama Barcelona, pemain berusia 24 tahun itu memenangi dua kejuaraan La Liga, dua Copa del Rey, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab dan Supercopa de Espana dalam tiga musim pertamanya.

Neymar sudah menjaringkan 90 gol dalam 149 perlawanan, termasuk lima gol dalam lapan perlawanan musim ini.