Neymar takut cedera, Tuchel sahkan Silva kapten PSG

Oleh Muzaffar Musa 18 Julai 2020 515
Neymar takut cedera, Tuchel sahkan Silva kapten PSG
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, berkata dia takut mencederakan dirinya dalam kemenangan 7-0 ke atas Waasland-Beveren dalam perlawanan persahabatan, di mana juara Ligue 1 itu sedang bersedia untuk menghadapi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Nyemar, Kylian Mbappe dan Mauro Icardi, kesemuanya menemui sasaran ketika PSG membelasah kelab Belgium itu di Parc des Princes awal pagi tadi.

Selepas saingan Ligue 1 ditamatkan lebih awal berikutan pandemik COVID-19 pada April lalu dan Liga Juara-Juara pula dijadualkan bersambung Ogos depan, PSG telah kembali ke padang latihan sebagai persedian untuk berdepan Atalanta dalam pusingan kalah mati itu -- termasuk dengan membelasah Le Havre 9-0 minggu lalu.

PSG meneruskan persiapan mereka dengan bertemu Waasland-Beveren di Paris, di mana gol sendiri Aleksandar Vukotic memberikan pendahuluan buat tuan rumah pada minit ke-21 sebelum Neymar menyudahkan sepakan penalti tujuh minit kemudian.

Neymar kemudian menghulurkan bola yang disudahkan Icardi menerusi sepakan penalti pada minit ke-47 manakala dua jaringan Mbappe dan Eric Maxim Choupo-Moting selain satu gol daripada Loic Mbe Soh melengkapkan keputusan itu dalam babak kedua.
 
Bercakap mengenai keputusan itu, Neymar ditanya mengenai corak permainan agresif Waasland-Beveren dan dia berkata kepada beIN SPORTS: "Benar, kami berasa sedikit takut. Kami di sini untuk perlawanan persahabatan, jadi perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kami di sini untuk mempersiapkan diri tetapi perlu berhati-hati.

"Tetapi kami juga ada membalasnya, jadi tiada masalah," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel, mengesahkan pertahanan veteran, Thiago Silva, akan kekal menjadi kapten pasukan itu sehingga kontraknya tamat.

Silva, yang menyambung kontraknya demi menyertai Liga Juara-Juara yang ditunda, dijangka akan meninggaklan PSG selepas berkhidmat selama lapan tahun tetapi pemain berusia 35 tahun itu akan kekal memakai lilitan kapten sehingga tempoh itu.

"Thiago Silva kekal sebagai kapten sehingga hari terakhirnya di atas padang. Dia kapten saya!" kata Tuchel selepas perlawanan itu.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen