Neymar dan Thiago Silva tersenarai dalam skuad Brazil bimbingan Tite semalam bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru.

Juara dunia lima kali itu sepatutnya melangsungkan perlawanan berkenaan Mac lalu, tetapi ancaman COVID-19 memaksanya ditunda hingga bulan depan.

Tite menamakan 23 pemain termasuk tujuh pemain yang berpangkalan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila pemain veteran Chelsea, Silva, antara muka-muka yang diberi kepercayaan selepas meninggalkan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Bintang PSG, Neymar, turut tampil dalam skuad yang sarat dengan penyerang handalan itu termasuk pemain Liverpool, Roberto Firmino; penyerang Manchester City, Gabriel Jesus, Richarlison (Everton) dan Rodrygo (Real Madrid).


Pemain sayap Barcelona, Philippe Coutinho, yang masa depannya di Camp Nou masih terumbang ambing susulan pelantikan Ronald Koeman sebagai pengganti Quique Setien, turut dipanggil untuk perlawanan bulan depan itu.

Brazil akan berentap dengan Bolivia di Sao Paulo pada 9 Oktober sebelum berkunjung ke Lima bertemu Peru, empat hari kemudian, dalam usaha mereka untuk layak ke pusingan akhir Qatar 2022.

Pertahanan Palmeiras, Gabriel Menino, dan pemain tengah Lyon, Bruno Guimaraes, merupakan muka baru dalam skuad Samba kali ini.

Skuad 30 pemain:

Alisson (Liverpool), Santos (Athletico-PR), Weverton (Palmeiras); Rodrigo Caio (Flamengo), Danilo (Juventus), Felipe (Atletico Madrid), Renan Lodi (Atletico Madrid), Marquinhos (Paris Saint-Germain), Gabriel Menino (Palmeiras), Thiago Silva (Chelsea), Alex Telles (Porto); Casemiro (Real Madrid), Philippe Coutinho (Barcelona), Fabinho (Liverpool), Bruno Guimaraes (Lyon), Douglas Luiz (Aston Villa), Everton Ribeiro (Flamengo); Everton (Benfica), Roberto Firmino (Liverpool), Gabriel Jesus (Manchester City), Neymar (Paris Saint-Germain), Richarlison (Everton), Rodrygo (Real Madrid).