Neymar silap tinggalkan Barcelona, kata Edmilson

Oleh Staff Writer 22 November 2018 825
Neymar silap tinggalkan Barcelona, kata Edmilson
Neymar melakukan kesilapan apabila bersetuju dengan rekod dunia yuran perpindahan untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) daripada Barcelona, kata bekas benteng Blaugrana dan Brazil, Edmilson.

PSG mengejutkan dunia bola sepak apabila menjadikan Neymar pemain termahal dunia, Ogos tahun lalu, tatkala Barca terpaksa menelan hakikat kehilangan salah seorang bintang.

Sejak ke Paris, Neymar secara konsisten menyinar, menyumbat 29 gol dan membantu menghasilkan 18 bantuan gol dalam hanya 31 penampilan Ligue 1.

Namun, kapten Brazil itu sering dikaitkan dengan spekulasi perpindahan dan yang terbaru, dia dilaporkan mahu kembali ke Barca.

Sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak, Edmilson yang menyarung jersi Barca selama empat tahun sehingga 2008 berpendapat Neymar membuat keputusan salah meninggalkan gergasi Sepanyol itu tahun lalu.

"Karier Neymar adalah sesuatu yang sangat peribadi. Dia membuat keputusan untuk ke PSG dan meninggalkan Barcelona," kata Edmilson kepada Omnisport.

"Bagi saya, ia satu kesilapan kerana Piala Dunia semakin hampir dan jika dia mahu bergelar pemain nombor satu dunia, ia boleh dicapai dengan lebih cepat sekiranya berada di Barca berbanding bersama PSG.

"Dia melalui detik sukar kerana di pentas Ligue 1, PSG dua atau tiga langkah lebih ke depan berbanding pasukan lain.

"Ia bukan disebabkan pasukan lawan tidak bagus tetapi PSG memiliki skuad bertaraf antarabangsa dan untuk sebuah pasukan di tahap itu bersaing dengan kelab, ia sesuatu yang rumit.

"Saya berharap Neymar mengekalkan kekuatan mental dan menetapkan keinginan kerana ia penting untuk seorang pemain, tidak kira sejauh mana hebat bakat yang dimiliki," tambah Edmilson.

"Jika dia tidak gembira atau tidak menjadikan bola sepak sebagai pekerjaan, dia boleh memiliki gaya rambut tercantik di dunia tetapi tidak akan dapat mempamerkan apa yang diingini.

"Perkara sama berlaku terhadap Ousmane Dembele. Jika dia tidak gembira dan yakin dengan apa yang dilakukan, dia akan lewat ke sesi latihan memandangkan bola sepak bukan keutamaannya.

"Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bergelar pemain terbaik kerana mereka menjadikan bola sepak sebagai sasaran utama, menyumbat 40 gol dalam satu musim dan sebab itu mereka berada di tahap tersebut."

Barca mendapatkan Dembele daripada Borussia Dortmund untuk dijadikan pengganti Neymar tetapi setakat ini, pemain muda Perancis itu gagal memenuhi reputasi yang digalas.

Setelah dihantui masalah kecergasan musim lalu, dia melalui kempen yang tidak menentu ketika ini, termasuk gagal tiba ke sesi latihan tanpa sebab tetapi Edmilson tidak berputus asa dengannya dan menggesa agar pihak kelab memberikan sokongan.

"Dia merupakan pemain muda," tambah Edmilson.

"Mungkin dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan pemain bola sepak sebenar tetapi diharapkan dia akan cepat sedar dan menggunakan kesempatan yang ada.

"Sudah tentu pihak kelab, staf pasukan serta orang ramai bersama dengannya untuk memberikan bantuan. Kadangkala isu yang sangat peribadi hanya boleh diselesaikan bersama individu yang rapat dengan pemain ini."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen