Neymar berkata bahawa satu-satunya penyesalannya ketika ini adalah tidak menumbuk muka Alvaro selepas diarahkan keluar padang ketika Paris Saint-Germain (PSG) tewas 0-1 kepada Marseille dalam perlawanan Ligue di Parc des Princes awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu merupakan salah seorang daripada lima pemain yang dilayangkan kad merah dalam waktu kecederaan perlawanan Le Classique itu.

Neymar mendakwa Alvaro memainkan isu perkauman ketika dilihat bercakap kepada pegawai keempat perlawanan itu sebelum meninggalkan padang.

Ia selepas rakaman video menunjukkan Neymar memukul belakang kepala pertahanan berkenaan.

Selepas perlawanan itu, Neymar menciap dalam Twitter dengan berkata bahawa dia sepatutnya menumbuk pemain Marseille itu tepat di mukanya.

"Satu-satunya perkara yang saya sesalkan adalah kerana tidak menumbuknya di muka," katanya.

Leandro Paredes, Layvin Kurzawa, Jordan Amavi dan Dario Benedetto turut diarahkan keluar padang dalam waktu kecederaan.

Jaringan Florian Thauvin dalam babak pertama sudah cukup untuk memberikan Marseille kemenangan 1-0, sekali gus memastikan PSG tewas buat kali kedua dalam saingan awal Ligue 1 musim ini.