Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan bahawa bintangnya, Neymar, akan kembali ke Perancis untuk meneruskan sesi pemulihan daripada kecederaan kelangkang manakala rakan sepasukannya, Moise Kean, turut digugurkan daripada skuad Itali.

Neymar menerima panggilan untuk memperkuatkan Brazil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela dan Uruguay walaupun tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan terakhir PSG.

Bagaimanapun, bekas penyerang Barcelona itu tidak sempat pulih untuk mewakili negaranya sepanjang waktu rehat antarabangsa bulan ini dan Brazil enggan mengambil sebarang risiko mengenai tahap kecergasannya.

PSG mengesahkan semalam bahawa Neymar akan pulang ke ibu negara Perancis itu berdasarkan "kepercayaan dan kerjasama" di antara staff pasukan juara Ligue 1 itu dan skuad Selecao berkenaan.

Sementara itu, Kean sudah pulang ke Paris selepas dilaporkan oleh media Itali sedang mengalami masalah otot.

Penyerang itu, yang menjaringkan lima gol daripada tujuh penampilan sejak tiba daripada Everton, akan terlepas perlawanan Itali menentang Poland dan Bosnia-Herzegovina dalam Liga Negara-Negara Eropah.

PSG akan meneruskan aksi liga dengan menentang Monaco pada 20 November ini sebelum berdepan RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara Eropah empat hari kemudian.