Neymar mendedahkan kakitangan Paris Saint-Germain (PSG) sememangnya meramalkan dia akan menjaringkan gol ke atas Montpellier melalui sepakan percuma semalam dan gol itu menjadi detik kebangkitan kemenangan mereka.

PSG ketinggalan kepada gol sendiri Leandro Paredes sebelum Neymar memenangi situasi bola mati dari jarak 25 ela pada 20 minit terakhir permainan selepas dikasari Pedro Mendes, yang dibuang padang kerana menempah kad kuning kedua.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengambil sepakan percuma tersebut dan menghantar bola ke sudut kanan bagi menyamakan kedudukan sambil jaringan Kylian Mbappe dan Mauro Icardi menyusul untuk mengesahkan kemenangan 3-1.

Neymar kemudian mendedahkan kakitangan PSG sudah menghidu bahawa dia akan menyumbat gol daripada sepakan percuma dalam perlawanan itu yang membantunya meningkatkan keyakinan untuk mengambil tugasan berkenaan.

"Ia perlawanan yang sukar tetapi dalam separuh masa kedua, aksi kami lebih baik," katanya kepada PSG TV.

"Ia satu kemenangan yang penting buat pasukan. Sebelum perlawanan, saya telah bercakap dengan barisan kakitangan dan kami semua berasakan bahawa saya akan menjaringkan gol melalui tendangan bebas.

"Saya mempunyai keyakinan, jadi saya mencubanya. Ia satu jaringan hebat untuk membantu pasukan menang."

Rakan senegara Neymar merangkap kapten PSG, Thiago Silva, gembira meraih penampilan ke-300 bersama kelab itu dengan kemenangan.

"Ia satu catatan bersejarah buat saya," kata pemain berusia 35 tahun itu.

"Saya tidak pernah terfikir untuk beraksi lama dengan Paris Saint-Germain.

"Saya sangat gembira dan berasa satu kebanggaan tetapi kami perlu meneruskan usaha, kami mempunyai banyak perlawanan yang akan menyusul.

"Saya harap saya dapat beraksi dalam lebih banyak perlawanan lagi bersama Paris."