Neymar melaungkan amaran menjelang perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Manchester City dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok apabila mengisytiharkan bahawa dia bersedia "untuk mati di atas padang".

PSG ketinggalan 1-2 dalam perlawanan pertama di Parc des Princes minggu lalu di mana Kevin de Bruyne dan Riyad Mahrez memadamkan jaringan pembukaan Marquinhos.

Permulaan cemerlang yang dipamerkan pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu tidak bertahan lama dengan City memperlihatkan penguasaan hampir sempurna selepas waktu rehat.

Neymar kelihatan tenggelam dalam perlawanan itu manakala rakannya di bahagian serangan, Kylian Mbappe, gagal merekodkan sebarang percubaan -- kali pertama dihadapinya dalam UCL.

Pemain termahal dunia itu menyedari tugas sukar yang akan dihadapinya di Stadium Etihad tetapi tidak berputus asa untuk membawa kembali finalis musim lalu itu ke pentas sama.

"Kami menghadapi perlawanan yang amat sukar menentang Manchester City tetapi kami perlu percaya, tidak kira berapa peratusan kemenangan buat kami," kata Neymar dalam saluran persendirian PSG.

"Saya fikir setiap Parisian perlu percayakan kami. Saya akan menjadi orang pertama melakukannya.

"Saya berada di barisan depan dan saya akan menjadi pahlawan pertama untuk masuk ke dalam pertempuran buat pasukan ini.

"Saya akan memberikan yang terbaik daripada diri saya dan akan melakukan segala-galanya untuk layak, tidak kira apa yang berlaku," katanya.