Kemenangan 1-0 Brazil ke atas Uruguay dalam aksi persahabatan di Stadium Emirates awal pagi tadi bukanlah aksi yang mampu untuk dibanggakan, namun kapten pasukan, Neymar, lega pasukannya berjaya melepasi cabaran itu.

The Selecao menempa rangkaian kemenangan sejak Piala Dunia lalu dengan menewaskan Amerika Syarikat (AS), El Salvador dan Arab Saudi, dengan cabaran sebenar mereka adalah ketika meraih kemenangan tipis ke atas Argentina yang beraksi tanpa kelibat Lionel Messi.

Neymar berdepan satu lagi aksi sukar yang disajikan skuad kendalian Oscar Tabarez di London, namun itu tidak menghalangnya untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76.

Walaupun Brazil tidak memaparkan aksi seperti yang sepatutnya ketika berdepan seteru Amerika Selatan itu, Neymar tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

Bagaimanapun, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dalam skuad kendalian Tite itu.

"Saya lebih berpuas hati berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini," kata penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Kami berdepan lawan yang lebih baik daripada kami.

"Mereka menyukarkan kami untuk bertahan dan menyerang.

"Ia seperti yang kami jangkakan.

"Kami tahu Uruguay tidak akan memberikan ruang. Mereka menguasai bola di udara dan mempunyai dua penyerang terbaik dunia.

"Kami sedar kesukaran itu dan berusaha keras mencari peluang dan memenangi perlawanan.

"Kami akan pulang dengan gembira, namun masih banyak perlu diperbaiki.

"Kami tahu kami mampu menjadi lebih baik.

"Kami perlu menyelaraskan beberapa perkara dan mempertingkatkan mutu permainan.

"Apapun, kami gembira dengan keputusan ini dan tahniah buat kesemua pemain," katanya lagi.