Neymar bersedia untuk kembali beraksi buat Paris Saint-Germain (PSG) tetapi juara Ligue 1 itu akan turun tanpa Kylian Mbappe dalam perlawanan menentang Lille esok.

Bintang Brazil itu meneruskan isu kecergasan yang membelenggu dirinya di Parc des Princes susulan kecederaan paha yang dialami ketika tempoh rehat antarabangsa bulan lalu.

Bercakap dalam sidang media, pengendali PSG, Thomas Tuchel, mengesahkan Neymar boleh diturunkan dalam perlawanan minggu ini tatkala mereka bakal berkunjung ke Real Madrid dan Monaco selepas Lille bertandang ke ibu negara Perancis itu.

"Neymar berasa bagus," katanya.

"Dia berlatih dengan baik dan akan memperkuatkan pasukan untuk perlawanan esok tetapi masih belum boleh beraksi 90 minit.

"Dia memberikan kualiti dan perkara utama dalam pasukan. Apabila dia bersama kami, PSG sangat bahaya. Ia perlu jika kami mahu terus menang.

"Lille, Real dan Monaco menghadirkan tiga cabaran buat kami."

Mbappe sering beraksi cemerlang sepanjang ketiadaan Neymar tetapi penggempur Perancis itu mengalami masalah kesihatan selepas mengalami kecederaan paha dan betis yang berulang musim ini.

"Dia demam tetapi perlu mula berlatih hari ini. Kami harus tunggu," tambah Tuchel.

Bagaimanapun, tindakan Neymar hadir ke Madrid untuk menyaksikan saingan tenis Piala Davis ketika masih dalam tempoh pemulihan tidak membuatkan bekas pengurus Borussia Dortmund itu berang.

"Apa boleh saya lakukan? Saya bukan bapanya atau seorang polis. Saya hanya jurulatih," katanya.

"Dia berlatih dengan baik. Adakah saya suka dengan kunjungannya ke Madrid? Tidak tetapi dia sangat profesional dalam tempoh dua minggu.

"Dia melakukannya lebih daripada pemain lain, berlatih dalam kumpulan dan juga secara individu. Jika segalanya berjalan lancar, dia akan beraksi menentang Lille. Kami akan buat keputusan esok."