Pemain yang baru mencipta rekod perpindahan dunia yang terbaru, Neymar, menyifatkan keinginan tinggi Paris-Saint Germain (PSG) dalam mencipta kejayaan berjaya menarik minatnya untuk ke Paris.

PSG bersetuju untuk membayar klausa perpindahan bintang Brazil itu yang bernilai GBP198 juta (RM1.1 bilion), sekaligus memadam rekod yang dipegang Paul Pogba pada musim lalu.

Neymar, 25 tahun, menjelaskan perkembangan PSG yang sentiasa positif menjadikannya berminat untuk mencuba cabaran baru di ibu negara Perancis itu.

“Saya amat gembira dapat berpindah ke PSG,” kata Neymar.

“Sejak tiba di Eropah, PSG merupakan antara pasukan yang sentiasa bersaing.

“Selepas empat musim berada di Eropah, saya sudah bersedia untuk memulakan cabaran baru dan keinginan tinggi yang ditunjukkan PSG telah membuatkan saya tertarik untuk menerima tawaran mereka,” tambahnya.

PSG terlepas kejuaraan Ligue 1 di tangan Monaco pada musim lepas selepas lima tahun mendominasi liga domestik.

Bagaimanapun, kejayaan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sentiasa menjadi keutamaan presiden, Nasser Al-Khelaifi, menyebabkannya bertekad untuk membawa Neymar ke Paris.

“Ia satu penghargaan selepas berjaya membawa Neymar Jr ke Paris-Saint Germain,” kata Nasser.

“Dia pasti akan menawarkan tenaga yang positif buat pasukan. Selepas cuba membina pasukan yang besar selama enam tahun, langkah ini membawa PSG ke satu peringkat lebih tinggi,” tambahnya.