Bapa Neymar menjelaskan menyertai Real Madrid adalah sesuatu yang mustahil buat anaknya dalam masa terdekat ini.

Paris Saint-Germain (PSG) mengejutkan dunia bola sepak selepas mendapatkan khidmat Neymar dengan rekod perpindahan bernilai EURO222 juta (RM1.1 bilion) daripada Barcelona, Ogos lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu telah menjaringkan 14 gol dalam 15 perlawanan musim ini tetapi masanya bersama kelab Perancis itu sering terpalit dengan spekulasi mengenai hubungannya dengan pengendali pasukan, Unai Emery, dan rakan sepasukannya, Edinson Cavani.

Majalah bola sepak Sepanyol, Don Balon, telah melaporkan Real merancang untuk membayar EUR250 juta (RM 1.21 bilion) untuk mendapatkan Neymar pada penghujung musim ini hasil penjualan Gareth Bale, James Rodriguez, Karim Benzema dan Rafael Varane.

Salah satu lagi majalah, Diario Gol, mendakwa Presiden Real, Florentino Perez, menasihatkan Neymar untuk meninggalkan Barca bagi memudahkan perjalanan untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu.

"Hingga hari ini, kami tidak memikirkannya," kata Neymar Sr.

"Saya berasakan ia adalah sesuatu yang mustahil. Saya tidak boleh berbincang mengenai perpindahan Neymar dalam tempoh lima atau enam tahun lagi.

"Neymar mempunyai kontrak jangka panjang ketika menyertai PSG. Kami hanya berhijrah ke sini tiga bulan lalu dan terdapat pihak menyatakan dia akan berhijrah. Ia adalah sesuatu yang mustahil," tegasnya.