Bintang sensasi Brazil, Neymar, telah menjaringkan gol antarabangsa ke-50 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 ketika Brazil menewaskan Argentina 3-0.

Penyerang Barcelona itu menjaringkan gol selepas menerima hantaran cantik daripada Gabriel Yesus, untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama di Belo Horizonte.

Jaringan itu menyaksikan Neymar kini telah meledak 50 gol dalam 74 perlawanan antarabangsa, meletakkan dia di kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Brazil.

Neymar yang hanya berusia 24 tahun, kini dalam misi untuk memecahkan rekod sepanjang zaman Pele, yang telah menjaringkan 77 gol.