Neymar hampir patah semangat jadi mangsa kritikan 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Januari 2021 995
 Neymar hampir patah semangat jadi mangsa kritikan 
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Brazil, Neymar, mendedahkan dia hampir bersara daripada bola sepak.

Neymar diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia tetapi sering dituduh gemar berlakon di atas padang selain mengamalkan gaya hidup yang jauh berbeza daripada sukan itu.

Pemain termahal dunia itu dipancing daripada gergasi LaLiga, Barcelona, pada 2017 dan Neymar mengakui kritikan sering yang dilemparkan memberi kesan terhadapnya.

"Saya tidak akan pernah kehilangan minat untuk bermain bola sepak tetapi saya menempuhi saat-saat yang saya rasakan mahu berhenti bermain," kata pemain berusia 28 tahun itu kepada Majalah Gaffer. 

"Pada suatu ketika, saya sampai bertanya kepada diri sendiri mengapa saya perlu terus beraksi sedangkan mereka tidak menyukai saya.

"Saya biasa pulang dengan hati yang panas, kemudian kenang semula apa telah saya lakukan demi membawa saya ke sini.

"Cinta saya terhadap bola sepak dan perkara seumpama itu memberikan ketenangan dan membawa saya kembali ke realiti. Ini kerana saya sangat bertuah. Saya telah mencapai banyak kejayaan dalam karier sekali gus menjadikan saya dan keluarga amat bahagia.

"Selepas melakukan kemunculan pertama bersama Santos FC, memenangi gelaran pertama dengan Santos, menjuarai Piala Libertadores juga sangat penting. Menyertai Barcelona adalah impian saya sejak kecil lagi, memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan kedatangan saya ke Paris. Detik-detik ini akan sentiasa kekal istimewa buat saya."

Neymar menambah: "Saya tidak pernah berasakan tekanan. Sebaliknya, saya adalah orang yang mampu mengurus tekanan dengan mudah; menjadi nombor 10 pasukan kebangsaan Brazil, nombor 10 di PSG dan hanya menjadi Neymar.

"Saya rasa saya dapat melakukannya dengan baik tetapi pada masa yang sama saya sedar dengan komitmen yang ada dan saya sangat berterima kasih kerana dapat mewakili pasukan seperti PSG dan Brazil. Saya tahu ketika beraksi, saya perlu melakukannya dengan cara yang berbeza, saya harus memberikannya 100 peratus kerana itulah yang diharapkan semua orang."

 

Neymar merakamkan tiga gol dalam lapan penampilan Ligue 1 untuk mengumpul 10 gol musim ini. 

Penyerang Brazil itu mengharungi aksi penuh untuk PSG terus menguasai tangga teratas Ligue 1 hasil kemenangan 1-0 di Angers, awal pagi tadi. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen