Neymar berkata Brazil sudah berusaha sedaya-upaya untuk merobek benteng England selepas pertembungan itu berakhir seri tanpa jaringan di Wembley, semalam.

Anak buah Tite itu dikecewakan oleh pasukan England yang dilanda masalah kecederaan, yang menyaksikan Joe Gomez dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa bersama skuad utama.

Walaupun buntu merekodkan sebarang jaringan, Neymar tetap berpuas hati dengan prestasi Brazil sepanjang tahun ini selepas skuad samba itu hanya kecundang sekali dalam 11 perlawanan.

"Kami telah mencuba segala-galanya," katanya. "Kami menguasai perlawanan, kami memiliki peluang gol tetapi kami tahu mereka merupakan pasukan dengan rekod pertahanan yang baik.

"Namun, saya berpuas hati dengan aksi kami, kami tidak memberi peluang kepada lawan, kami cuba mencipta beberapa peluang. Kami menyukarkan mereka dan itu sesuatu yang bagus untuk kami.

"Ini ujian yang baik untuk kami berlatih, berusaha dan menggunakan kesempatan yang ada untuk menjaringkan gol.

"Saya gembira dengan prestasi pada tahun ini, kami menamatkannya dengan cara yang baik dan itulah yang penting," katanya.

Ditanya sama ada pasukan lawan sentiasa menjangkakan Brazil akan menguasai permainan, Neymar berkata: "Ya, mungkin, tetapi itu selalu mengejutkan saya.

"Ketika menentang Jepun (menang 3-1), kami dipaksa lebih banyak bertahan. Anda tidak tahu, setiap pasukan mempunyai gaya tersendiri tetapi saya berasakan kebanyakan rentak kami akan menjadi seperti ini."