Bintang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar,percaya bahawa Unai Emery akan memberikan kejayaan buat Arsenal.

Emery mengambil alih pasukan itu musim ini dan bermula cemerlang dengan meletakkan The Gunners di tangga kelima liga setakat ini.

Neymar, yang pernah beraksi selama semusim di bawah kendalian Emery di PSG, yakin jurulatih itu akan menempa kejayaan besar di England.

"Ia semakin jelas dengan Arsenal kini memaparkan mutu permainan yang tinggi," kata Neymar dalam sidang media menjelang pertemuan Brazil dan Uruguay di London.

"Mereka melalui awal musim dengan rekod yang baik dan semua orang tahu keupayaan Emery.

"Kami tahu kualiti yang dimilikinya dan saya gembira pernah bekerjasama dengan seorang jurulatih yang rajin sepertinya.

"Dia sememangnya mahu mengajar kami tentang bola sepak dan tidak henti-henti melakukan kajian dalam sukan itu.

"Saya yakin dia akan berjaya di Arsenal dan kembali meletakkan pasukan itu di tahap yang tinggi.

"Saya akan mendoakan kejayaannya," katanya lagi.

Arsenal kini mengalami kemerosotan selepas meraih tiga keputusan seri berturut-turut.

Mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.