Neymar cedera ketika PSG tewaskan Istanbul Basaksehir

Oleh Muzaffar Musa 29 Oktober 2020 620
Neymar cedera ketika PSG tewaskan Istanbul Basaksehir
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, mengalami kecederaan ketika pasukannya menewaskan Istanbul Basaksehir 2-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal tadi.

Pemain kebangsaan Brazil itu kelihatan mengalami kesakitan di pinggul kirinya dalam aksi separuh masa pertama di Turki itu.

Selepas menjalani rawatan di tepi padang, Neymar dilihat memaklumkan kepada ketua jurulatihnya, Thomas Tuchel, bahawa dia tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan dengan Pablo Sarabia pada minit ke-26.

PSG sedang menghadapi jadual padat dan akan menghadapi tiga lagi perlawanan dalam tempoh 10 hari ini sebelum waktu rehat antarabangsa.

Mereka akan menentang Nantes dalam Ligue 1, Sabtu ini sebelum berkunjung ke laman RB Leipzig dan kemudian bertemu Rennes dalam satu lagi perlawanan liga minggu depan.

Neymar turut berkemungkinan akan terlepas perlawanan Brazil menentang Venezuela dan Uruguay dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bulan depan, bergantung kepada tahap kecederaannya.

Pemain berusia 28 tahun itu telah melakukan enam penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen