PSG 3 RB LEIPZIG 0

Thomas Tuchel mempertahankan Neymar untuk menamatkan kemarau golnya selepas penggempur dari Brazil itu membawa Paris Saint-Germain (PSG) ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL).


Dengan mempamerkan standard tinggi, Neymar mengharungi tiga perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol selain melepaskan deretan peluang ketika menang 3-0 ke atas RB Leipzig di peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.

Begitupun, dia terlepas sebarang hukuman atas kegagalannya menyempurnakan kesempatan terhidang selepas PSG menafikan kemaraan seteru dari Jerman itu yang menyaksikan Neymar mencipta gerakan gol buat Angel Di Maria.

Dan selagi juara Perancis itu terus menang, soal jaringan Neymar hampir tidak penting buat pengurus, Tuchel.

Kedudukan Neymar dalam pasukan itu tidak boleh dinafikan lagi memandangkan gandingan bintang berusia 28 tahun itu dan penggempur, Kylian Mbappe, adalah berbahaya buat mana-mana lawan di dunia ini.

Bagaimanapun, semakin lama Neymar tidak mencetak nama selaku penjaring maka beban yang digalasnya semakin meningkat.

"Dengan kualiti dan keyakinan yang dimilikinya, dia akan menjadi lebih klinikal," kata Tuchel dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

"Dia berpotensi untuk menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia ketika bersama pasukan ini, di samping Mbappe, itu sesuatu yang bagus dan jika dia menyumbat gol dalam final, maka saya akan berasa gembira."

Sebagai bekas pertahanan yang pernah beraksi dalam liga bawahan Jerman suatu ketika dulu, Tuchel berseloroh bahawa dia pernah merantai salah seorang penyerang berbisa di dunia.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya. Apa yang dapat saya pesan kepadanya? Bagaimana saya dapat menjelaskan kepadanya tentang cara untuk menjaringkan gol?" tambah pengurus itu tatkala juara Ligue 1 berkenaan bakal menanti Bayern Munich atau Lyon dalam final.

"Saya hanya pernah menyumbat dua gol sepanjang karier sendiri. Saya tidak dapat membantunya. Mungkin Kylian boleh memberi nasihat kepadanya."



Neymar tumpul ketika bertemu Lyon dalam final Coupe de la Ligue, hujung bulan lalu, termasuk ketika menundukkan Atalanta dalam suku akhir UCL.

Tuchel jelas tidak menganggapnya sebagai masalah memandangkan kelibat bekas penyerang Barcelona itu masih memainkan peranan besar dalam corak permainan mereka.

Ketika berdepan Leipzig, dia memainkan pengaruh besar dan seharusnya layak mencetak nama sebagai penjaring.

"Dalam sesi latihan, dia menemui penyudah. Dia beraksi dengan sangat baik dan dia sangat hebat di atas padang," kata Tuchel lagi.

"Dia mempunyai mentaliti dan perwatakan yang kuat ini. Dia mempunyai semangat dan mentaliti untuk menang."