Neymar akan kembali berlatih, Icardi masih dipantau

Oleh Staff Writer 8 November 2019 69
Neymar akan kembali berlatih, Icardi masih dipantau
Neymar akan kembali menyertai sesi latihan Paris Saint-Germain (PSG) minggu depan tetapi rakan sepasukannya, Mauro Icardi, perlu menjalani ujian kecergasan menjelang perlawanan Ligue 1 di laman Brest awal pagi Ahad ini.

Bintang Brazil itu tidak pernah mewakili PSG sejak meraih kemenangan 4-0 ke atas Angers, 5 Oktober lalu gara-gara kecederaan paha sewaktu tugasan antarabangsa.

Pemain berusia 27 tahun itu telah berlatih secara berseorangan dan akan memulakan proses pemulihannya minggu depan.

PSG turut berisiko kehilangan Icardi dalam perlawanan itu selepas penyerang yang dipinjam dari Inter Milan berkenaan terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua ketika menewaskan Club Brugge 1-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah semalam.

Pengurus pasukan Paris itu, Thomas Tuchel, berkata selepas tamat perlawanan bahawa penjaring gol kemenangan pasukannya itu telah beraksi dalam kesakitan dan akan menjalani pemeriksaan kecederaan kaki hari ini.

Thilo Kehrer turut kembali berlatih menjelang pertemuan dengan Brest tetapi Ander Herrera tidak akan terlibat dengan perlawanan itu gara-gara kecederaan pinggul manakala Thomas Meunier terpaksa direhatkan sehingga tamat waktu rehat antarabangsa berikut ini.

Juara bertahan Ligue 1 itu tewas 1-2 kepada Dijon hujung minggu lalu tetapi masih mengetuai carta liga dengan kelebihan tujuh mata di depan Angers.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen