Zinedine Zidane berkata Real Madrid sedikit kecewa kerana gagal melakar kemenangan lebih besar dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah berdepan Bayern Munich.

Dua gol Cristiano Ronaldo menyaksikan penyandang juara itu bangkit daripada ketinggalan -- hasil jaringan Arturo Vidal -- lantas mencatat kemenagnan berharga 2-1 di Allianz Arena.

Bayern mendominasi perlawanan dalam babak pertama dan sepatutnya mendahului dengan dua gol sebelum sepakan penalti yang diambil Vidal melambung tinggi.

Madrid bangkit dalam babak kedua dengan Ronaldo meledak gol pertamanya sejak September tahun lalu, dua minit selepas bermulanya babak pertama, sebelum meledak golnya yang ke-100 di pentas kejohanan Eropah pada minit ke-61.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, mengecewakan Real Madrid sebanyak dua kali apabila berjaya menyelamatkan percubaan Karim Benzema dan Ronaldo sementara pengadil menafikan gol Sergio Ramos pada minit ke-90 ekoran ofsaid.

Zidane mengakui aksi cemerlang Neuer mengecewakan pasukannya.

"Bukan mudah untuk melakar kemenangan di sini," Zidane memberithau beIN Sports.

"Kami menanggung derita dalam babak pertama.

"Dengan kesabaran dan kembali menguasai hantaran bola, separuh masa kedua menjadi milik kami. Kemudiannya, berdepan dengan lawan yang beraksi 10 pemain, ia lebih memudahkan kami.

"Mereka tidak sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti tetapi itulah yang berlaku. Memasuki masa rehat, kami lega kerana hanya ketinggalan 1-0.

"Kami sedikit kecewa kerana dalam babak kedua, kami mendapat banyak peluang tetapi kami berdepan penjaga gol yang umpama tembok besar.

"Ini adalah satu keputusan positif tetapi kami masih ada baki 90 minit yang peru ditempuhi."