OLYMPIACOS 2 BAYERN MUNICH 3

Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer, mengharapkan peningkatan daripada barisan pertahanan pasukannya selepas menewaskan Olympiacos 3-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Piraeus awal pagi tadi.


Dua gol daripada Robert Lewandowski membantu Bayern mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan dalam Kumpulan B tetapi juara Bundesliga itu terpaksa melalui waktu getir menuju ke wisel penamat.

Neuer melakukan dua aksi menyelamat gemilang pada penghujung perlawanan dan berasakan pasukannya hampir terlepas kemenangan itu gara-gara aksi buruk barisan pertahanan.

Setakat ini, Bayern dibolosi sebanyak 10 gol dalam lapan perlawanan Bundesliga dan empat gol dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Masalah utama buat ketika ini adalah kami perlu menjaringkan tiga gol dalam setiap perlawanan kerana kami sentiasa dibolosi sebanyak dua kali," katanya kepada UEFA.com.

"Kami sekali lagi menyukarkan diri sendiri dan tidak menyedari perkara itu.

"Kami perlu terus berusaha untuk menanganinya, menganalisis dan melihat apa yang kami boleh lakukan dengan lebih baik," katanya.

Pertahanan Bayern, Benjamin Pavard, berasakan gandingannya di barisan belakang sudah mula memaparkan peningkatan sejak beberapa minggu lalu, namun menyedari masih banyak yang perlu dilakukan dalam sesi latihan.

Pavard berkata: "Saya percaya kami sudah meningkat berbanding perlawanan sebelum ini.

"Gol kedua mereka merupakan nasib malang kami, sepakan yang terbias itu mengelirukan Manuel.

"Kami menerima tiga mata ini dan akan bekerja keras untuk kurang dibolosi.

"Kami sedar ia perlawanan yang sukar di sini.

"Penyokong Olympiacos tidak henti-henti mendorong pasukan mereka hingga ke minit terakhir.

"Kami terlebih dahulu bolos tetapi tidak panik.

"Kami bermain baik dan mencapai sasaran untuk meraih tiga mata.

"Kini, kami perlu mempersiapkan diri untuk aksi timbal balik di gelanggang sendiri dalam tempoh dua minggu.

"Ia perlawanan yang penting. Jika kami menang, kami akan layak," katanya.

Penyerang Bayern, Lewandowski, meneruskan ketajamannya di depan gawang dengan menghasilkan 18 gol sepanjang musim ini.

Pemain kebangsaan Poland berusia 31 tahun itu menolak masuk dua jaringan jarak dekat dan berkata sifat tenangnya menjadi faktor utama kejayaan itu.

"Saya sedar setiap situasi di atas padang akan menjadi penting dan boleh menentukan sama ada kami menang atau tidak.

"Kerana itu, saya mahu terus fokus, tenang dan melaksanakan tugas saya.

"Bagi kami, ia perlawanan yang amat penting.

"Bukan kerana kami mahu terus menang dalam Liga Juara-Juara tetapi kerana mata-mata yang kami cicirkan dalam liga.

"Kami tahu tiga mata di sini akan meletakkan kami di posisi terbaik untuk memenangi perlawanan berikutnya di laman sendiri dan mara ke pusingan seterusnya.

"Kami mahu layak secepat mungkin," katanya.