Bayern Munich kini mempunyai bakat yang lebih baik berbanding ketika kali terakhir mereka menakluk peringkat Eropah pada 2013, kata kapten pasukan itu, Manuel Neuer.

Neuer, di samping David Alaba, Jerome Boateng dan Thomas Muller, merupakan salah seorang daripada empat pemain yang berada dalam skuad yang memenangi kejuaraan Eropah itu selepas menewaskan Borussia Dortmund di Wembley dan diturunkan sebagai penjaga gol utama ketika menewaskan Lyon 3-0 dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Selepas memberikan lawan mereka peluang pada awal permainan, Bayern bangkit menerusi dua jaringan Serge Gnabry dalam babak pertama.

Robert Lewandowski, yang mewakili Dortmund dalam final tujuh tahun lalu, kemudian menjaringkan golnya yang ke-55 dalam kesemua kejohanan musim ini untuk pasukan Jerman itu mencongak perhitungan dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam final hujung minggu ini.

Skuad kendalian Hansi Flick itu mendominasi saingan domestik dengan gelaran Bundesliga dan DFB Pokal, dan Neuer memberitahu wartawan bahawa pasukan Bayern musim ini lebih baik berbanding pasukan kendalian Jupp Heynckes, yang memenangi gelaran 'treble' pada 2013.

"Di atas kertas, kami pasukan yang lebih baik.

"Kami kini mempunyai kelas bukan sekadar pasukan dengan 18 orang pemain, lihatlah betapa hebatnya pasukan yang kami ada," katanya.

Kejayaan itu pada awalnya seakan-akan mustahil ketika Bayern bergelut di bawah kendalian Niko Kovac pada awal musim ini.

Selepas bekas penolong jurulatih, Flick, mengambil alih pasukan itu, mereka menjadi pasukan yang amat sukar untuk ditewaskan.

"Dia bersikap tenang, terutama ketika sebelum perlawanan seperti ini.

"Dia mempersiapkan kami denngan sangat baik, tidak kira siapa lawan yang akan kami hadapi.

"Kami sentiasa mempunyai perancangan dan anda dapat melihatnya di atas padang," katanya lagi.