Neuer akan buktikan masih yang terbaik, kata Lloris

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2018 70
Neuer akan buktikan masih yang terbaik, kata Lloris
Kapten Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, mempertahankan Manuel Neuer susulan kritikan yang diterima sambil memuji pemain Bayern Munich itu sebagai penjaga gol terbaik dunia.

Neuer, yang merupakan penjaga gol nombor satu Jerman, bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik sejak kembali daripada kecederaan panjang sebelum saingan Piala Dunia 2018.

Prestasi buruk Bayern ketika ini serta persembahan longlai kapten itu sewaktu Jerman tewas di tangan Belanda dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA mencetuskan perdebatan mengenai sentuhannya yang menghilang.

Legenda Jerman, Lothar Matthaus, menggesa Joachim Low agar menggugurkan Neuer daripada skuad dan memberi laluan kepada Marc-Andre Ter Stegen tetapi Lloris percaya pemenang enam kali Bundesliga itu masih pemain yang terbaik.

"Melihat kepada apa yang telah dia sumbangkan untuk Bayern dan Jerman, perbincangan ini tidak adil," kata Lloris.

"Tidak mudah jika anda tidak beraksi hampir setahun. Dia masih seorang pemain pada tahap yang tinggi dan penjaga gol hebat.

"Sebagai penjaga gol, kami sering bergantung kepada skuad dan jika pasukan tidak berfungsi sebaiknya, kami juga akan tampak buruk.

"Bagi saya, dia tetap yang terbaik. Neuer adalah pemain bagus dan dia akan membuktikannya semula di masa akan datang."

Neuer beraksi dalam kesemua tujuh perlawanan liga buat Bayern musim ini, mencatat dua aksi tanpa dibolosi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen