VIKTORIA PLZEN 0 REAL MADRID 5

Pengendali sementara Real Madrid, Santiago Solari, melaungkan bahawa penjaga golnya, Keylor Navas, layak menerima penghormatan daripadanya selepas pemain itu digantikan dengan Thibaut Courtois ketika aksi menentang Viktoria Plzen dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Navas turun selaku kesebelasan utama dalam tiga perlawanan peringkat Eropah di bawah kendalian bekas pengurus, Julen Lopetegui, namun disisihkan di bangku simpanan ketika kemenangan 5-0 pasukan itu dalam aksi kumpulan G.

Navas sebelum ini membuat kiriman dalam laman Instagramnya sebuah frasa Bible dengan tulisan: "Berkatilah sesiapa yang mempercayaiku dan yakin terhadapku."

Bercakap kepada Movistar selepas kemanangan besar itu, Solari menjelaskan sebab dia memilih Courtois: "Ia keputusan yang saya pilih.

"Namun, saya tegaskan di sini bahawa Keylor seorang yang amat saya hormati dan kagumi sebagai seorang pemain bola sepak."

Karim Benzema melakukan gerakan solo menarik sebelum meraikan golnya yang ke-200 bersama Madrid pada minit ke-20.

Dia kemudian menjaringkan satu lagi gol dalam perlawanan yang turut menyaksikan Casemiro, Gareth Bale dan Toni Kroos turut tersenarai selaku penjaring.

"Kamu tidak boleh meminta lebih daripada itu.

"Pasukan saya berjaya melakukannya.

"Barisan pemain menghasilkan gol-gol yang menakjubkan," kata Solari yang kini meraih tiga kemenangan berturut-turut tanpa bolos.

"Kami melakukannya dengan baik sebelum ini, namun apa yang saya nampak adalah sikap matang dan keinginan mereka memburu jaringan.

"Ramai antara mereka mampu menjaringkan gol dengan kualiti yang dipamerkan seperti itu.

"Jika kamu menang 5-0 kamu akan dipuji.

"Setiap perlawanan adalah berbeza, kamu perlu terus lakukan dengan rendah hati, pengorbanan dan impian untuk mencapai objektif serta memandang kepada perlawanan yang akan datang.

"Pemain menjadi punca kepada kejayaan ini dan mereka layak mendapat pujian," tambahnya.