Presiden Persekutuan Bolasepak Costa Rica (FEDEFUT), Rodolfo Villalobos, menyifatkan Keylor Navas telah membuktikan kebolehannya untuk menjadi pilihan utama Real Madrid.

Dipilih sebagai pilihan utama selepas ikon Real, Iker Casillas, mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab, Navas terus dikaitkan bakal bersaing dengan sasaran kelab, David De Gea dan Gianluigi Donnarumma.

Pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain utama skuad kendalian Zinedine Zidane untuk menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) dua kali berturut-turut dan meraih kejuaraan LaLiga, musim lalu.

Villalobos bergelut untuk memahami mengapa Real mahu menggantikan Navas, sebaliknya menghargai peningkatan yang telah dipamerkan oleh penjaga gol itu.

"Saya berasakan Navas dikelilingi khabar angin sejak tiba di Real," katanya.

"Navas merupakan pemain yang penting di sebalik kejayaan mereka sejak akhir-akhir ini. Dia telah membuktikan bahawa dia berhak bersama pasukan tersebut.

"Jika Navas berhijrah, ia merupakan satu kehilangan buat kelab tersebut," ujarnya.