Kemarau gol Cristiano Ronaldo dalam saingan LaLiga berterusan ketika Real Madrid melakar kemenangan 2-0 ke atas Espanyol tetapi penjaga gol, Keylor Navas, percaya aksi keseluruhan rakan sepasukannya itu harus dinilai sama seperti dia menjaringkan gol.

Penyerang Real, Ronaldo, masih belum mencetak sebarang gol dalam saingan liga musim 2017-18 selepas dia digantung lima perlawanan.

Dalam tiga penampilan, pemain berusia 32 tahun itu telah melepaskan 22 percubaan ke arah pintu gol lawan dan hanya empat daripadanya menemui sasaran.

Isco berjaya mencetak dua gol untuk skuad bimbingan Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu ketika menewaskan Espanyol 2-0 kelmarin -- jaringan pertama dihasilkan oleh pemain kebangsaan Portugal itu yang terlepas dua peluang terbuka pada babak pertama perlawanan.

Tetapi Navas percaya Ronaldo, yang persembahan keseluruhannya seperti mencipta peluang untuk rakan sepasukan yang lain, harus dinilai sama seperti dia meledak gol.

"Ronaldo bermain dengan baik dan bertahan bersama-sama rakan sepasukan yang lain," kata Navas.

"Dia melakukan bantuan jaringan selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan yang lain.

"Ia merupakan satu gerakan yang sangat baik dan perlu dinilai sama seperti mencetak gol," katanya lagi.