Keylor Navas layak dihargai sebagai legenda Real Madrid, menurut Fernando Morientes.

Navas, 33, menghabiskan lima musim bersama Madrid, memenangi gelaran LaLiga dan tiga Liga Juara-Juara (UCL) sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) tahun lalu.

Morientes, seorang pemain cemerlang di Real, percaya penjaga gol itu harus dianggap antara yang terbaik di kelab LaLiga.

"Pada akhirnya, seperti di Real Madrid, saya memberitahu anda bahawa dia adalah seorang legenda," kata bekas penyerang itu kepada ESPN.

"Seorang pemain sepertinya yang telah mengambil bahagian dalam detik-detik terhebat di Real mesti meletakkan dirinya sebagai legenda, tanpa keraguan."

Navas tiba di Santiago Bernabeu dari Levante pada tahun 2014 dan menjadikan dirinya sebagai pemain nombor satu kelab setelah penghijrahan Iker Casillas pada tahun berikutnya.

Morientes mengatakan peningkatan Navas di Real sangat luar biasa, bertindak sebagai penjaga gol utama dalam tiga edisi final UCL pada 2016 hingga 2018.

"Keylor Navas datang sebagai pemain sokongan untuk penjaga gol yang hebat dalam sejarah Real, Iker Casillas," katanya.

"Sedikit demi sedikit dia mendapat penghormatan daripada seluruh masyarakat, tetapi dia juga menentukan saat-saat hebat dalam sejarah Bernabeu."