Penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, mengakui dia bingung bagaimana pasukan itu sedang bergelut tatkala skuad kendalian Zinedine Zidane mencatat keputusan seri buat kali keempat berturut-turut dalam saingan La Liga, kali ini terikat 1-1 berdepan Eibar pada Ahad.

Real sebelum ini diikat seri berdepan Villareal, Las Palmas dan Borussia Dortmund dan dijangka tidak akan berdepan masalah untuk menangani Eibar, namun senario yang sama berulang.

Gareth Bale menyamakan kedudukan selepas ketinggalan hasil jaringan Fran Rico pada minit ke-18, namun kegagalan mempamerkan aksi mantap dalam tempoh 90 minit mengakibatkan tiada sebarang jaringan tambahan dihasilkan.

"Saya tidak tahu mengapa kami tidak mampu mendapatkan kemenangan," katanya.

"Kami bekerja keras dan sentiasa beraksi dengan mentaliti yang sama dalam setiap perlawanan.

"Cukup mengecewakan apabila kami sekadar mengutip satu mata di laman sendiri. Kami perlu memperbaiki perkara ini dan bangkit lebih ampuh selepas kembali daripada aksi antarabangsa.

"Kami tidak panik. Kami sedar apa yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh keciciran mata lagi."