Pertahanan Schalke dari Serbia, Matija Nastasic, terpaksa direhatkan hampir tiga bulan kerana kecederaan lutut, sekaligus berdepan kekangan untuk tampil cergas sebelum Piala Dunia.

Bek tengah itu terpaksa dibawa keluar pada Sabtu lalu ketika Schalke tewas 3-2 di tangan Hamburg dan imbasan selepas itu menyaksikan dia mengalami masalah pada ligamen lutut kanan.

Schalke menjangkakan dia bakal terlepas baki saingan musim ini dan peluangnya untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 menentang Costa Rica pada 17 Jun juga mula meragukan.

"Dalam pertemuan dengan Hamburg pada Sabtu lalu, bek tengah itu dikeluarkan kerana kecederaan pada lutut," memetik kenyataan wakil kelab.

"Imbasan selepas itu mendapati dia berdepan masalah serius pada lutut sehingga menyebabkannya terpaksa direhatkan antara lapan hingga 12 minggu.

"Pemain berusia 25 tahun itu akan terlepas baki saingan musim ini, manakala kelibatnya bersama Serbia untuk Piala Dunia masih belum pasti."

Nastasic menyertai Schalke dari Manchester City pada 2015 dan telah tampil sebanyak 24 kali bersama kelab Jerman itu, musim ini.