Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, menafikan laporan bahawa pasukannya telah mencapai kata sepakat untuk melantik Thomas Tuchel sebagai pengendali baru selepas meraikan kemenangan 7-1 ke atas Monaco, sekali gus disahkan juara Ligue 1 musim 2017/18.

Skuad kendalian Unai Emery itu menampilkan aksi cemerlang awal pagi tadi hasil dua jaringan Giovani Lo Celso dan Angel Di Maria, serta masing-masing satu gol daripada Edinson Cavani, Julian Draxler dan satu gol sendiri Radamel Falcao.

Walaupun PSG dilihat mampu menamatkan musim ini dengan tiga kejuaraan, Emery dijangka meninggalkan pasukan apabila tamat kontrak pada Jun depan dan Tuchel diletakkan sebagai calon utama untuk menggantikannya, namun dakwaan itu ditolak Nasser.

"Jika kami telah menandatangani seseorang, kami akan mengumumkan kepada anda," ujar Nasser.

"Hari ini, kami mempunyai jurulatih yang berada di padang. Kami sangat jujur, memiliki jurulatih yang bekerja dengan kami sehingga akhir musim.

"Mari berfikir positif pada malam ini. Kami adalah juara dan ia adalah perkara yang indah. Terima kasih kepada semua.

"Musim ini masih belum tamat dan terdapat piala yang boleh diraih. Liga Juara-Juara Eropah menjadi sasaran utama kami tetapi ia tidak mudah. Kami bekerja keras, begitu juga dengan pasukan lain. Kami sangat bangga pada hari ini."

Emery dikaitkan dengan kepulangan ke Sevilla sekiranya Vincenzo Montella ditamatkan kontrak.