Nasihat Conte bantu kami

Oleh Penulis Jemputan 27 September 2017 1994
Nasihat Conte bantu kami
Pengendali Spartak Moscow, Massimo Carrera, menghamburkan pujian buat rakan sejawatannya di Chelsea, Antonio Conte, yang memberikan nasihat kepadanya untuk menghadapi Liverpool dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah 2017/18.

Dalam aksi awal pagi tadi di Otkrytiye Arena, Spartak berjaya mengikat The Reds 1-1 selepas jaringan hasil sepakan percuma Fernando pada minit ke-23 berjaya dipadamkan oleh Philippe Coutinho lapan minit kemudian.

Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah Carrera kini berada di tangga ketiga kumpulan, berkongsi dua mata bersama Liverpool di tangga kedua, namun dibezakan dengan jumlah jaringan, dan Carrera mendedahkan aksi pemain-pemainnya dalam perlawanan itu adalah hasil nasihat daripada Conte.

"Semasa berbual, kami ada bercakap tentang Liverpool selama beberapa minit," kata Carrera.

"Kami lebih banyak bercakap tentang situasi dalam pasukan masing-masing, percutian, kehidupan peribadi tetapi apabila dia bercakap mengenai England, saya memerlukannya.

"Spartak bermain menentang pasukan yang bagus. Saya tidak mempunyai apa-apa rungutan mengenai persembahan pasukan.

"Saya hanya mahu berterima kasih kepada semua orang. Adakah saya gembira dengan keputusan yang diraih? Ya, kami berjaya mengikat sebuah pasukan yang bagus."

Carrera merupakan rakan sepasukan Conte di Juventus ketika masih bergelar pemain dan turut pernah bekerjasama dalam pasukan Itali.

Dia menolak peluang untuk menyertai Conte di Chelsea selepas membuat keputusan untuk meluaskan bidang kejurulatihannya di Russia.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen