FEYENOORD 2 NAPOLI 1

Dries Mertens mengakui Napoli akan mengharungi laluan berliku susulan kekalahan 2-1 kepada Feyenoord dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Keputusan itu menyaksikan anak buah Maurizio Sarri itu di tempat ketiga Kumpulan F di belakang juara kumpulan, Manchester City, dan Shakhtar Donetsk, yang kedua-duanya mara ke peringkat kalah mati.

Sementara itu, Napoli akan menyambung aksi dalam Liga Europa dan Mertens menyatakan pasukannya perlu meningkatkan keupayaan, apatah lagi turut ditundukkan Juventus dalam aksi Serie A pada Sabtu lalu.

"Kami berada dalam tempoh yang sukar dan kami tidak dapat bermain seperti biasa," katanya kepada laman sesawang rasmi UEFA.

"Sepanjang musim, anda perlu menghadapi kesulitan seperti ini tetapi kami mahu kembali ke tahap sebenar dengan secepat mungkin.

"Ia bukan mudah malam ini selepas mendengar keputusan daripada perlawanan lain, namun kami harus cermin diri sendiri dan cuba memahami bagaimana untuk kembali bermain bola sepak terbaik kami.

"Kami adalah sebuah pasukan yang mantap dan saya pasti kami akan melakukannya," hujahnya.

Marek Hamsik senada dengan rakan sepasukannya itu dan berkata ia adalah kekalahan yang sukar untuk ditelan, lebih-lebih lagi Napoli berjaya mendahului seawal minit ke-2 menerusi gol Piotr Zielinski sebelum Nicolai Jorgensen mengikat kedudukan.

Feyenoord kemudiannya beraksi dengan 10 pemain berikutan Tonny Vilhena dibuang padang tetapi masih berjaya meraih kemenangan hasil sumbangan Jeremiah St. Juste pada lewat permainan.

"Kami tidak menonton apa yang berlaku dalam perlawanan lain di Ukraine (City menentang Shakhtar), kami hanya memberi tumpuan kepada permainan kami," katanya.

"Amat perit untuk kalah dengan gol lewat tetapi kami perlu melakukannya lebih baik lagi pada awal permainan, kami perlu lebih pantas di bahagian tengah.

"Kekalahan di Shakhtar menjadikan semuanya rumit bagi kami sejak awal kempen kumpulan ini. Kami masih bersemangat untuk melakukan yang terbaik di Eropah dan kami akan cuba melakukannya dalam Liga Europa."