NAPOLI 2 RIJEKA 0

Bola sepak kembali di Naples awal pagi tadi, begitupun dalam keadaan luar biasa memandangkan kota itu terus meratapi kematian legenda, Diego Maradona.


Perlawanan pertama Napoli sejak pemergian bintang paling ikonik mereka itu minggu ini yang disulami nyanyian dan bunga api di gelanggang tertutup Stadio San Paolo.

Peminat tidak dibenarkan menghadiri pertembungan Liga Europa dengan Rijeka itu, tetapi warga Neapolitans tetap berkumpul di luar stadium, yang bakal dinamakan sempena wira dari Argentina berkenaan.

Ketua pasukan, Lorenzo Insigne, tampil meletakkan karangan bunga sebelum sepak mula sementara pasukan Napoli berbaris dengan jersi 'Maradona 10' -- jersi yang dibersarakan sebelum kematian Maradona lagi. Namanya terpampang di serata pelusuk padang.

Selepas dua hari penuh emosi, pasukan bimbingan Gennaro Gattuso itu menonjolkan satu persembahan yang sukar tetapi masih mampu menang 2-0.

Bekas pemain pertahanan Napoli, Armando Anastasio -- tonggak tempatan -- memecah kebuntuan dalam babak pertama sementara Hirving Lozano yang masuk sebagai pemain gantian menyumbang gol kedua.

Begitupun perhatian segera terarah kepada pemain telah menghadiahkan gelaran kepada San Paolo, jadi tidak mengejutkan apabila Gattuso berkata kepada Sky Sport Italia: "Diego adalah kebanggaan kota ini.

"Mereka melihatnya sebagai pemain bola sepak terbaik di dunia.



"Dia mewakili nombor 10, keseluruhan masyarakat, dia membuatkan mereka seperti bermimpi. Ramai orang dipanggil Diego tetapi dia lebih penting daripada San Gennaro."

Tambah bekas pemain tengah kental itu: "Saya mempunyai banyak kenangan indah tentang Diego; saya berpeluang untuk makan bersamanya sebanyak beberapa kali.

"Dia sudah meninggal dunia tetapi tidak akan pernah mati kerana dia adalah orang yang luar biasa. Dia melakukan banyak perkara luar biasa. Dia juga melakukan beberapa kesilapan dalam hidup tetapi dia akan tetap hidup selamanya.

"Bahkan malam tadi, sepanjang melalui bandar untuk pulang ke hotel, anda boleh melihat bandar ini menghirup udara yang berbeza. Ia adalah kehilangan besar.

"Diego berasal dari planet lain, seorang legenda."

Penyerang Napoli, Dries Mertens, pula menyifatkan sukar untuk menyarung jersi awal pagi tadi bagi mengenangkan ikon bola sepak itu.