Napoli mungkin perlu lepaskan Koulibaly tanpa UCL -- Dossena

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Mei 2020 227
Napoli mungkin perlu lepaskan Koulibaly tanpa UCL -- Dossena
Napoli mungkin terpaksa menjual Kalidou Koulibaly jika gagal meraih tiket Liga Juara-Juara (UCL), demikian amaran yang disuarakan Andrea Dossena. 

Kancah di Itali masih tertangguh akibat koronavirus baru (Covid-19) yang menyaksikan Napoli di tangga keenam dan sembilan mata dipisahkan dengan Atalanta yang menghuni kedudukan keempat.

Sebelum musim ini ditunda, Napoli mula menemui rentak di bawah bimbingan pengurus, Gennaro Gattuso, yang dilantik bagi menggantikan Carlo Ancelotti sejak Disember lalu.

Dossena, yang mewakili Napoli di antara 2010 dan 2013, khuatir kelab itu bakal kehilangan beberapa pemain utama sekiranya tidak dapat bersaing dalam saingan elit Eropah berkenaab musim depan yang menyaksikan mereka melangkah ke pusingan 16 UCL sebelum musim ini terhenti. 

Dia yakin Koulibaly khususnya akan angkat kaki memandangkan pertahanan kental itu menjadi sasaran Liverpool dan Manchester United.

"Untuk menghambat Atalanta dengan jurang sembilan mata merupakan satu cabaran besar, seandainya Napoli gagal meraih tempat dalam UCL maka mereka harus menjual beberapa pemain," katanya kepada Stats Perform News.

"Dua pemain yang paling dihargai Napoli adalah Fabian Ruiz dan Koulibaly. 

"Koulibaly memiliki kelebihan fizikal dan kepantasan, dia adalah salah seorang pertahanan tengah terbaik di dunia dan juga boleh dikatakan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL)."

Dalam kempen musim ini, Dossena mengakui kelab itu kurang berjaya di bawah kendalian Ancelotti tetapi berasakan Gattuso mula memberikan kesan positif.

 

"Ini seharusnya menjadi musim yang hebat buat Napoli selepas mengeluarkan peruntukan yang terbesar," katanya.

"Pemilik (Aurelio De Laurentiis) telah berbelanja besar dan ia seharusnya menjadi musim kegemilangan Ancelotti. Tetapi terdapat kemerosotan, beberapa kesulitan.

"Kemudian Gattuso masuk dan beliau sangat bagus dalam menyampaikan karisma, semangat dan kehendaknya. Usahanya menjurus kepada gaya hantaran yang terperinci dan beberapa idea yang mantap dan jelas.

"Tetapi apa yang paling penting, adalah logik untuk membenarkan semua pemain memainkan peranan semula jadi mereka dengan kembali ke formasi 4-3-3."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen