Napoli mungkin kini telah menjadi pesaing terdekat Juventus dalam merebut gelaran Serie A sejak beberapa musim lalu tetapi Carlo Ancelotti berkata ikhtiar mengatasi skuad Bianconeri itu adalah langkah yang terlalu besar buat Partenopei.

Napoli menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan terbaik di bawah bimbingan Maurizio Sarri sejak tiga musim lalu.

Ancelotti menggantikan Sarri yang berhijrah ke Chelsea bagi musim 2018-19 dan mengekalkan kedudukan pasukan selaku pesaing terdekat Juve, namun ketinggalan kepada pendahulu liga itu dengan lapan mata selepas 17 perlawanan.

Dengan memintas Juve merupakan sasaran utama pasukan, Ancelotti tidak percaya mereka sudah bersedia untuk mengatasi juara Scudetto tujuh kali itu.

"Saya berasakan setiap individu dalam pasukan memberikan motivasi antara satu sama lain dengan menilai kebolehan masing-masing," katanya.

"Jika anda mahu menjadi Leo Messi, maka laluan anda dipengaruhi oleh genetik. Tetapi anda boleh berlatih untuk menjadi lebih baik setiap hari.

"Sama seperti untuk keseluruhan pasukan. Jika saya menyatakan objektif utama pasukan adalah menewaskan Juve, ia masih lagi jauh untuk dilaksanakan.

"Saya hadir ke Napoli untuk menang. Kami akan berjuang hingga penghujung musim ini," ujarnya.