Gennaro Gattuso dilantik sebagai ketua jurulatih baru Napoli, demikian disahkan kelab Serie A itu.

Bekas pengurus dan pemain tengah AC Milan itu akan mengambil alih tugas di San Paolo selepas Carlo Ancelotti dipecat semalam.

Gattuso pernah dua kali memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebagai pemain di bawah kendalian Ancelotti sepanjang era gemilangnya di Milan.

Pemecatan Ancelotti pula hanya berselang sejam selepas Napoli menewaskan Genk 4-1 untuk melayakkan diri ke pusingan 16, Liga Juara-Juara.

Kejayaan di peringkat Eropah itu menamatkan kerisauan sepanjang beberapa bulan lalu di mana prestasi buruk di peringkat domestik telah menimbulkan pertikaian dalam kelab itu.

Napoli menduduki tangga ketujuh Serie A dengan hanya lima kemenangan daripada 15 perlawanan pertama dan ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu, Inter Milan.

Situasi tidak harmoni di antara pemain dan presiden, Aurelio De Laurentiis, terlihat apabila pemain daripada pasukan utama enggan menghadiri kem latihan selama seminggu bulan lalu.

Kelab itu kemudian memberikan amaran dalam satu kenyataan bahawa mereka boleh menghukum pemain dengan denda dan berjanji untuk melakukan "segala-galanya dengan kuasa mereka untuk melindungi kepentingan ekonomi, aset, hak imej dan kepentingan disiplin" pasukan itu.

Kemenangan ke atas Genk awal pagi semalam merupakan yang pertama sejak menewaskan Salzburg 3-2 pada 23 Oktober lalu -- rekod sembilan perlawanan tanpa kemenangan yang memberikan tekanan ke atas Ancelotti.

Bekas pengurus Bayern Munich dan Real Madrid berusia 60 tahun itu turut dikaitkan untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Everton.

"Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab, pekerja, pemain dan pegawai saya dan juga presiden di atas peluang untuk melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan di bandar yang indah seperti Naples," ciap Ancelotti dalam Twitter.

Gattuso, 41, mengambil alih jawatan pengurus Milan selepas Vincenzo Montella dipecat pada November 2017, namun dia meninggalkan pasukan itu musim lalu gara-gara terlepas slot ke Liga Juara-Juara.