Kejohanan Eropah yang ditangguhkan tetap akan kekal dengan nama Euro 2020 walaupun bakal diadakan pada tahun 2021.

Bulan lalu, UEFA menangguhkan saingan itu selama setahun susulan wabak coronavirus.

UEFA tidak membuat sebarang keputusan rasmi mengenai nama kejohanan itu selepas ia ditangguhkan.

Namun, susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif menerusi sidang video, nama Euro 2020 sah akan kekal.

"Susulan penangguhan Euro 2020 yang dijadualkan musim panas ini kepada tahun depan serta dinilai menerusi beberapa perbincangan, pihak Jawatankuasa Eksekutif membuat keputusan untuk kekal dengan nama UEFA Euro 2020," kata wakil badan itu.


"Keputusan itu membolehkan UEFA kekal dengan visi asal kejohanan itu, meraikan ulang tahun ke-60 Kejohanan Eropah.

"Pemilihan ini sejajar dengan komitmen UEFA untuk menjadikan Euro 2020 terus kekal dan tidak mewujudkan pembaziran.

"Banyak bahan telah disiapkan sebelum kejohanan ditangguhkan. Perubahan nama kejohanan hanya akan memusnahkannya serta memaksa penciptaan semula."

Tarikh asal Euro 2020 adalah pada 12 Jun sehingga 12 Julai tahun ini tetapi telah ditukar kepada 11 Jun sehingga 11 Julai 2021.