Legenda Brazil, Pele, berkata nahas yang menimpa skuad Chapecoense sangat sukar untuk ditelan.

Pemain dan pegawai Chapecoense adalah antara 71 individu yang terkorban apabila kapal terbang yang membawa kelab Brazil itu ke Colombia bagi aksi final pertama Copa Sundamericana berdepan Atletico Nacional, terhempas di Cerro Gordo, La Union.

Juara dunia tiga kali, Pele, memberitahu ESPN Brazil bahawa seluruh Brazil ketika ini sedang berkabung dengan seluruh dunia memberikan penghormatan.

"Ini adalah saat yang sangat menyedihkan," katanya. "Kami sedih, rakyat Brazil turut bersedih.

"Saya mendoakan agar Tuhan memberikan kekuatan kepada keluarga mangsa agar mereka dapat mengharungi senario ini.

"Terlalu banyak kemalangan berlaku di seluruh dunia. Kehilangan mereka amat menyedihkan.

"Kami perlu terus berdoa dan berharap sesuatu yang positif akan hadir buat ahli keluarga mangsa.

"Untuk rakyat Brazil, apa yang berlaku amat sukar untuk dihadapi."

Sementara itu, Nacional telah meminta CONMEBOL untuk memberikan kejuaraan Copa Sundamericana kepada Chapecoense sementara juara musim lalu, Santa Fe dari Colombia, menyerahkan trofi replika kejuaraan musim lalu.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, turut membatalkan lawatan ke Australia, Isnin depan, bagi menghadiri majlis pengebumian di Brazil.