Pengurus RB Leipzig, Julian Nagelsmann, menyasarkan kemenangan dalam pertemuan dengan Bayern Munich esok dan percaya Timo Werner bakal menjadi kunci utama.

Nagelsmann mengetuai Leipzig mengungguli carta Bundesliga selepas tiga perlawanan sambil Werner telah menghasilkan lima gol.

Penyerang Jerman itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern tetapi aksi hujung minggu ini bakal menjadi saksi peranan terbesarnya musim ini.

"Kualiti individu sentiasa penting, jadi ia menjadi kunci buat kami jika Werner dalam prestasi terbaik," katanya.

"Dia sangat bagus dalam latihan dan akan menjadi faktor penting. Dia mampu menyakiti Bayern."

Ditanya mengenai sasaran Leipzig pada hujung minggu ini, pengendali itu menambah: "Kami boleh mengimbau semula aksi sebelum ini. Saya mahu menang dan menuju perlawanan dengan pendekatan itu."

Namun, Nagelsmann mengingatkan media bahawa pertemuan itu bukan penentu kepada perebutan kejuaraan liga.

"Keputusan baik ke atas Bayern boleh membawa anda pergi jauh tetapi anda perlu mengekalkan prestasi setiap minggu," katanya.

"Jika kami menang ke atas Bayern, kemudian tewas dalam semua perlawanan, ia tidak bermakna apa-apa."

Leipzig berdepan beberapa isu kecederaan -- selepas Dayot Upamecano hanya 93 peratus cergas, Patrik Schick masih bergelut dan Kevin Kampl kekal dengan masalah buku lali -- tetapi mereka juga menunggu sama ada Philippe Coutinho akan beraksi buat Bayern.

Pengurus Bayern, Niko Kovac, mendedahkan Thomas Muller akan dipilih sekiranya Coutinho tidak cergas sepenuhnya selepas melalui penerbangan jauh dari Los Angeles selepas tugasan bersama pasukan kebangsaan Brazil.

"Sudah tentu kami memikirkan tentangnya tetapi ia tidak mengubah keseluruhan corak Bayern," ujar Nagelsmann.

"Kami tidak akan fokus sama ada Muller atau Coutinho diturunkan. Mereka pemain berbeza tetapi tetap memiliki persamaan. Kedua-duanya mempunyai kemampuan tersendiri.

"Saya sudah tahu pemain mana yang bakal diturunkan dan saya bersedia dengan sesuatu."