Nagelsmann yakin Leipzig temui rentak hadapi Bayern

Oleh Staff Writer 8 Februari 2020 87
Nagelsmann yakin Leipzig temui rentak hadapi Bayern
Pengurus RB Leipzig, Julian Nagelsmann, mengakui pasukannya tidak begitu gembira dengan keputusan yang diraih kebelakangan ini tetapi percaya kedudukan tangga kedua Bundesliga mampu memberikan kelebihan menjelang pertemuan dengan pendahulu, Bayern Munich.

Leipzig menuju aksi getir itu tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dan terbaru, mereka tewas 3-1 di tangan Eintrach Frankfurt dalam saingan DFB-Pokal, Selasa lalu.

Mereka tergelincir daripada puncak liga dan berdepan cabaran getir Bayern yang kini dalam prestasi terbaik dengan memenangi enam perlawanan berturut-turut dalam liga domestik.

Menjelang kunjungan ke Allianz Arena awal pagi esok, Nagelsmann menggesa pemainnya agar kembali kepada corak permainan yang memberikan kejayaan ketika awal musim ini dan menegaskan mereka perlu berani mencabar Bayern untuk memintas lawan.

"Tidak dinafikan selepas perlawanan terakhir, kami adalah pasukan yang paling tidak yakin," katanya.

"Jika keputusan dan corak permainan kami bukan seperti yang dijangka dalam 90 minit, itu yang berlaku.

"Saya memberitahu pemain bahawa ia bukan sesuatu yang teruk kerana kami adalah pasukan muda, staf muda dan kelab baru. Musim lalu, kami tidak tertekan tetapi kini kehilangan elemen itu. Kami tidak mengambil risiko.

"Jadi, kini kami kembali menjadi pemburu dan mungkin ia bagus untuk kami. Kami tidak menang dalam dua aksi terakhir liga, satu tewas dan satu seri, jadi ini adalah peluang untuk kembali mencatat kemenangan.

"Kami mahu fikirkan apa yang mampu, bukan apa yang telah dilepaskan."

Awal musim lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika Bayern masih dibimbing oleh Niko Kovac.

Kini, Hansi Flick mengambil-alih selaku pengurus sehingga penghujung musim dan dia pantas mengubah hala tuju pasukan itu dalam cabaran musim ini.

"Mereka sangat kukuh, melakukan perkembangan terbaik sejak awal musim ini," tambah Nagelsmann.

"Kami perlu tampilkan persembahan terbaik kerana jika Bayern melalui hari biasa, prestasi 100 peratus tidak cukup. Kami harap mereka tidak menikmati hari istimewa."




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen